SEPANG: Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyimpan dan mengeksport dua jenis hidupan liar yang dilindungi.
S. Balachandran, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Balachandran didakwa menyimpan seekor ungka tangan hitam dan dua ekor cuscus, masing-masing hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
Beliau turut didakwa mengeksport ungka tangan hitam tanpa permit khas di bawah Seksyen 71 Akta 716.
Kesalahan eksport tanpa permit itu membawa hukuman denda RM20,000 bagi setiap hidupan liar dengan denda agregat tidak melebihi RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.
Bagi kesalahan mengeksport cuscus tanpa lesen, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 65 Akta 716 yang memperuntukkan denda RM20,000 hingga RM50,000 dan penjara setahun.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Gate C26, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 pada 26 September.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Danial Munir.
Tertuduh diwakili peguam Leon Dinesh T. Loganathan yang memohon jaminan RM6,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hakim Ahmad Fuad memutuskan tiada jaminan dibenarkan dan menetapkan sebutan kes pada 31 Oktober.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan baru-baru ini menggagalkan cubaan menyeludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai, India. – Bernama