Bahasa Tamil, Iban Dan Kadazan kini dipaparkan di Welcome Wall Menara KL

KUALA LUMPUR: Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan kini menjadi sebahagian daripada paparan 24 bahasa di Welcome Wall Menara Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata penambahbaikan itu dibuat selepas isu ketiadaan Bahasa Tamil mendapat perhatian umum pada awal bulan ini.

Beliau berkata tindakan segera telah diambil dengan menghubungi pihak pengurusan Menara KL bagi memastikan Bahasa Tamil dimasukkan.

Cadangan turut dibuat agar Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan turut dipaparkan sebagai pengiktirafan terhadap kepelbagaian bahasa di Malaysia.

“Cadangan teks bahasa-bahasa telah dimuktamadkan pada 11 Sept disusuli dengan pemasangan pada 28 Sept,“ katanya pada sidang media di tapak Welcome Wall.

Beliau juga berkata paparan Bahasa Tamil pada Welcome Wall membawa makna yang cukup istimewa menjelang sambutan Hari Deepavali.

“Ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menghargai semua kaum dan bahasa di negara ini.”

“Saya percaya ia hadiah bermakna untuk masyarakat India sempena Deepavali,“ katanya.

Teo turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara KL atas pelaksanaan penambahbaikan itu dalam tempoh yang singkat.

Ahli Parlimen Klang V.Ganabatirau mengucapkan terima kasih kepada Teo kerana membangkitkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Menara KL.

Beliau mengganggap langkah itu sebagai satu pengiktirafan bermakna kepada masyarakat India di Malaysia.

Welcome Wall Menara KL mula dipasang pada November 2021 dengan menampilkan 21 bahasa dari seluruh dunia.

Paparan asal termasuk bahasa kebangsaan (Melayu), Inggeris, Mandarin, Jepun dan Arab.

Ketiadaan Bahasa Tamil mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India selepas isu itu dibangkitkan oleh Ganabatirau.

Isu tersebut menjadi tular di media sosial sebelum ini.

Pihak berkuasa termasuk Teo memberi jaminan bahawa Bahasa Tamil akan segera ditambah selepas isu tersebut timbul.

Pihak pengurusan Menara KL diminta mempercepatkan proses tersebut bagi menangani kebimbangan masyarakat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *