Saksi hanya dengar perbualan berkaitan kes curi, tidak nampak Zara Qairina dicederakan

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia tidak melihat sebarang tindakan menyentuh atau mencederakan Zara Qairina Mahathir semasa perjumpaan dengan lima pelajar senior di bilik asrama berhubung dua kes kecurian dompet.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja yang terbabit dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi memaklumkan perjumpaan tersebut diadakan pada kira-kira 10.20 malam 15 Julai lepas iaitu sehari sebelum pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-6 itu selepas prosiding inkues, Ram Singh berkata menurut saksi, dia juga terdengar perbualan mengenai kes kecurian antara Zara Qairina dan seorang pelajar senior namun tidak begitu jelas kerana jarak mereka agak jauh.

“Kata saksi, dia turut melihat empat lagi pelajar senior masuk ke dalam bilik berkenaan… selepas itu, saksi dengar suara seseorang bercakap dengan nada kuat seolah-olah memarahi Zara Qairina tetapi saksi tidak pasti siapa yang bercakap ketika itu.

“Kira-kira pukul 11 malam, Zara Qairina keluar dari bilik dalam keadaan menangis… ia merupakan kali terakhir saksi melihat Zara Qairina pada malam tersebut,” kata Ram Singh sambil menambah saksi itu juga mengesahkan bahawa dia tidak mendengar sebarang pergaduhan berlaku antara 11 malam hingga 3 pagi, iaitu dari 15 hingga 16 Julai lepas – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *