Raja Muda Selangor tinjau raptai penuh istiadat pernikahan di Klang

KLANG: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meninjau raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda di sini hari ini.

Baginda turut berkenan menyertai raptai perarakan tersebut sejauh kira-kira 650 meter.

Perarakan bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi oleh Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat.

Paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor turut mengiringi perarakan diraja tersebut.

Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah.

Raptai istiadat pernikahan di Istana Alam Shah dibuat secara tertutup kepada orang ramai.

Sesi hari ini menyaksikan pelepasan dua das tembakan meriam sebagai sebahagian daripada raptai.

Pada hari kejadian sebenar, sebanyak 11 das tembakan akan dilepaskan sebagai simbolik menandakan selesainya istiadat pernikahan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Datuk Abd Hamid Hussain turut hadir meninjau persiapan hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memaklumkan pernikahan putera baginda pada Isnin lepas.

Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.

Istiadat pernikahan itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja akan diadakan pada 22 Oktober nanti.

Majlis tersebut akan berlangsung di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *