ARAU: Walaupun penjimatan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter dilihat kecil, namun bagi golongan berpendapatan rendah, pengurangan itu membawa kelegaan yang cukup bermakna.
Bagi mereka, inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan bulanan, malah meringankan tekanan dalam menguruskan kewangan keluarga yang semakin mencabar.
Perkara itu turut dirasai seorang ibu tunggal, Sufina Mohd Noh, 50, yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), apabila merasakan inisiatif berkenaan memberi sedikit ruang bernafas dalam kehidupan hariannya.
Dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, beliau mengakui kos petrol untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan urusan lain sering mengehadkan kemampuannya menyediakan keperluan keluarga.
“Dari rumah ke tempat kerja di Kangar kira-kira 20 kilometer, biasanya saya isi penuh tangki kereta Perodua Viva dengan anggaran RM60. Selepas adanya BUDI95, boleh jimat sekitar RM10,” katanya.
Sufina yang menetap di Kampung Simpang Sanglang dekat sini yakin inisiatif itu bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya, malah kepada ramai lagi yang bergelut dengan kos sara hidup, menyifatkan ia sebagai bukti jelas keprihatinan kerajaan MADANI.
Seorang lagi penerima, Mastura Azizan, 44, peniaga kedai makan dari Simpang Empat berkata, BUDI95 sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian keluarganya.
“Suami saya seorang pesawah, jadi apa sahaja bantuan yang dapat mengurangkan perbelanjaan amat kami hargai. Walaupun kecil, kesannya tetap positif kepada keluarga kami,” katanya yang mempunyai empat anak berusia lima hingga 14 tahun.
Menurut Mastura, setiap sen yang dijimatkan daripada pengisian petrol, akan digunakan untuk keperluan lain seperti belanja sekolah anak dan keperluan dapur.
Pemerhatian Bernama di beberapa stesen minyak di negeri ini, mendapati pengisian petrol RON95 bagi penerima STR berjalan lancar dan sistematik tanpa sebarang gangguan.
Untuk rekod, sejumlah RM3.7 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter direkodkan setakat 12 tengah hari semalam sejak pelancaran inisiatif BUDI95 bermula kelmarin (27 Sept), dengan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penerima manfaat itu.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata, BUDI95 diperluas kepada lebih lima juta penerima STR dalam kategori B40 mulai semalam, sebelum pelaksanaan penuh meliputi 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah bermula hari ini.– Bernama