MyDigital ID kekal fokus sediakan identiti digital selamat dan berdaulat

PUTRAJAYA: MyDigital ID Sdn Bhd (MyIDSB) mengulangi komitmennya untuk melaksanakan mandat di bawah Strategi Nasional dengan menyediakan identiti digital yang selamat, berdaulat serta mampan untuk setiap rakyat Malaysia.

Syarikat itu menyatakan identiti digital ini akan menjadi asas kepada keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi negara.

MyIDSB akan terus menjalinkan kerjasama secara konstruktif dengan para pemain industri bagi memastikan pembangunan yang saling melengkapi dan tidak bertindih.

Kerjasama ini bertujuan mengelakkan sebarang risiko kekeliruan atau perpecahan kepada rakyat Malaysia.

Kenyataan bersama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu dikeluarkan susulan laporan media berkaitan pelancaran inisiatif sektor swasta dalam ruang identiti digital.

MyIDSB mengalu-alukan hasrat para pemain industri untuk memperkukuh ekosistem digital negara.

Namun syarikat itu menegaskan pentingnya mengulangi beberapa prinsip utama dalam pembangunan identiti digital.

MyDigital ID (MyDID) yang dikendali oleh MyIDSB adalah infrastruktur identiti digital nasional rasmi Malaysia.

MyDID dibangunkan sebagai Infrastruktur Digital Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dikawal selia oleh NACSA di bawah Majlis Keselamatan Negara.

MyIDSB merupakan syarikat milik penuh MOF Inc yang mencerminkan komitmen dan mandat penuh kerajaan.

MyDID bertujuan menjadi identiti digital tunggal, selamat dan berautoriti bagi rakyat Malaysia.

Platform ini membolehkan akses yang mudah, selamat serta dipercayai kepada perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.

Syarikat swasta bebas berinovasi dan membangunkan produk serta perkhidmatan identiti digital yang memenuhi keperluan pasaran khusus.

Namun sebarang inisiatif yang mendakwa beroperasi pada skala nasional perlu sejajar dengan strategi negara.

Inisiatif tersebut juga perlu memastikan kebolehoperasian serta mematuhi keperluan tadbir urus, keselamatan dan kedaulatan.

MyDID sedang dibangunkan mengikut piawaian tertinggi daripada segi kepercayaan dan ketahanan.

Pembangunan ini termasuk pematuhan kepada standard global seperti Common Criteria, NIST dan ISO/IEC.

MyDID juga diselaraskan dengan kerangka perundangan semasa dan akan datang.

Berbeza dengan inisiatif swasta, MyDID bukanlah berasaskan keuntungan.

Ia dibangunkan sebagai sebuah Infrastruktur Digital Awam yang mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat.

Platform ini mengekalkan prinsip berkecuali, keterangkuman dan kemampanan jangka panjang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *