Ketua Polis Kelantan tegaskan kenyataan isu rogol bawah umur hanya pandangan peribadi

KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan cadangannya supaya undang-undang sedia ada diteliti semula, khususnya mengenai kes rogol bawah umur melibatkan hubungan ‘suka sama suka’ adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana pihak.

Beliau berkata kenyataan berkenaan tidak perlu ditarik balik walaupun terdapat gesaan daripada pelbagai pihak.

“Kenapa saya perlu memohon maaf atau menarik balik kenyataan tersebut, kerana ia hanya pandangan saya. Terserah kepada kerajaan sama ada mahu mengambil perhatian atau tidak. Tidak teliti pun tiada masalah, malah Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) sendiri telah memaklumkan ia adalah pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-56 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Mohd Yusoff menjelaskan, cadangan itu dibuat berdasarkan siasatan polis di Kelantan yang mendapati sebahagian besar kes rogol bawah umur berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan apabila hanya seorang didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bersedia menarik balik cadangan itu sekiranya ia menimbulkan kekeliruan atau dianggap tidak sensitif, selain memohon maaf jika kenyataannya sebelum ini menyinggung mana-mana pihak.

Pada 23 Sept lepas, Saifuddin Nasution menyifatkan cadangan Mohd Yusoff berhubung tindakan terhadap pelaku jenayah seksual bawah umur dengan kerelaan, atau suka sama suka, sebagai pandangan peribadi – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *