PUTRAJAYA: Menjelang pelaksanaan penuh sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tengah malam ini, kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi mengelakkan kelayakan mereka terjejas.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, analisis bersama Kementerian Pengangkutan (MoT) mendapati sebahagian data lesen memandu masih menggunakan nombor lama seperti nombor polis, nombor tentera atau nombor kad pengenalan lama yang tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.
“Orang ramai diminta menyemak maklumat pada lesen memandu masing-masing selain memastikan lesen masih sah. Antara butiran yang perlu dipastikan tepat ialah nombor MyKad 12 digit direkod dengan betul dalam lesen memandu, nama pemegang lesen tepat serta kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul,” menurut kenyataan itu.
MoF memaklumkan penyelarasan tersebut diperlukan kerana butiran pada lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat MyKad, yang merupakan dokumen dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan dan sekiranya terdapat ketidakselarasan, pemilik lesen diminta hadir ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat.
Menurut kenyataan itu, MoT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95.
MoF turut memaklumkan pelaksanaan sistem BUDI95 kekal stabil pada hari kedua semalam selepas ia diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memiliki lesen memandu aktif.
Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.
“Sepanjang 28 Sept 2025, sebanyak RM22.9 juta pembelian direkodkan melibatkan 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar,” katanya.
MoF turut merakamkan penghargaan kepada penerima STR yang memanfaatkan BUDI95, sambil menambah sistem itu akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 Sept lepas, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan subsidi RON95.
Portal itu kini dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi, yang memerlukan pengguna mendaftar dan log masuk menggunakan MyDigital ID sebagai langkah keselamatan bagi melindungi identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi kerajaan.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut – Bernama