ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap optimistik menjelang perlawanan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) 2025-26 menentang kelab Jepun Machida Zelvia FC, esok.
Ketua jurulatih Xisco Munoz berkata sasaran utama mereka adalah meneruskan momentum dan menumpukan pada memberikan persembahan terbaik.
“Rancangan kami sekarang adalah meletakkan sepenuh fokus pada pemain yang ada, dan perkara paling penting adalah memfokuskan pada permainan dan taktik. Kami cuma memberi pemain persediaan terbaik dan maksimum untuk penyokong kami. Itu yang paling penting sekarang.
“Esok kami akan cuba pamerkan tahap terbaik kami. Kami mempunyai semua pemain yang bagus dalam skuad pada tahap yang baik. Inilah peluang untuk pemain lain menonjolkan diri. Paling penting adalah memilih kesebelasan utama dan mereka yang diberikan peluang memberikan persembahan terbaik mereka,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanyai mengenai persediaan JDT untuk perlawanan esok selepas tiga pemain pasukan itu digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata kekuatan skuad penting dalam mengatasi ujian itu sambil menekankan bahawa pasukannya masih bersemangat tinggi.
“Penting untuk mempunyai kawalan dalam bahagian berbeza terutamanya bahagian tengah. Saya percayakan pasukan saya. Saya tahu kapasiti mereka. Antara pasukan terbaik di Asia, ia selalu sukar, tetapi kita mesti sesuaikan diri dengan situasi bahawa kadang-kadang kita mengawal, kadang-kadang kita dalam keadaan sukar.
“Bagi kami, ia mengenai meneruskan gaya kami, mengawal bola dan konsisten sepanjang perlawanan,” katanya.
Pemain pertahanan Shane Lowry mengakui cabaran tersebut namun menekankan tekad pasukan untuk menyerlah.
“Semua dalam pasukan mahu bermain. Latihan baik, moral pun tinggi. Kami tahu ia akan sukar, Liga Jepun antara yang terbaik di Asia. Tetapi sebagai pemain, ini adalah perlawanan yang kita mahukan, untuk menguji diri pada peringkat tertinggi.
“Kehilangan fokus ialah perkara utama perlu dielakkan. Pasukan Jepun secara teknikal, taktik dan fizikal kuat. Permainan ini adalah mengenai kekuatan mental, beraksi selama 90 minit, kerana perkara kecil boleh menentukan keputusannya…kekal tenang, dapatkan kawalan dan kukuhkan keyakinan kami semula,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Machida Zelvia Go Kuroda berkata pasukannya tidak sabar untuk beraksi pada kempen ACL pertama mereka dan bertekad menonjolkan gaya mereka meskipun berdepan lawan berpengalaman.
Beliau menzahirkan keyakinan pada kekuatan pertahanan pasukannya, menyatakan mereka mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam liga Jepun.
“Kami mahu menunjukkan gaya Machida. Kami tidak mahu berfikir banyak mengenai lawan atau berubah terlalu banyak. Pastinya saya menghormati JDT kerana mereka mempunyai rekod dan persediaan yang baik, tetapi untuk pihak kami, kami bersedia untuk menentang pasukan ini,” katanya.
Senada, pemain pertahanan Machida Zelvia, Yuta Nakayama menyeru rakan sepasukan untuk memanfaatkan peluang tersebut sebaiknya.
“Kami sangat teruja untuk beraksi. Esok kami akan berjuang dengan kuat dan kami akan mengambil tiga mata di sini,” katanya – Bernama