763 hotspot banjir dikesan di Pahang menjelang Monsun Timur Laut

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang telah mengenal pasti 763 lokasi hotspot berisiko banjir menjelang peralihan musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku antara November hingga Mac tahun depan.

Pengarah JBPM Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, daerah Temerloh mencatat jumlah kawasan tertinggi iaitu 185.

Jerantut mencatatkan 106 kawasan berisiko banjir diikuti oleh Pekan dengan 89 lokasi dan Kuala Lipis dengan 88 kawasan.

Daerah Bera mencatatkan sebanyak 70 kawasan manakala Kuantan mempunyai 64 lokasi berisiko banjir.

Raub mencatatkan 56 kawasan berisiko diikuti Maran dengan 51 lokasi, Bentong dengan 23 kawasan dan Rompin dengan 20 lokasi.

Cameron Highlands mencatat jumlah terendah dengan hanya 11 kawasan berisiko banjir.

Beliau berkata seramai 930 pegawai dan anggota bomba seluruh negeri kini bersedia sepenuhnya dengan pelan penugasan dan pemeriksaan kelengkapan di semua balai.

Mesyuarat telah diadakan di peringkat negeri, daerah dan komuniti untuk memastikan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir.

Sebanyak 20 unit bot komuniti telah diserahkan kepada Pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti terpilih di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

JBPM Pahang memiliki 76 bot pelbagai jenis termasuk 14 bot sumbangan agensi kerajaan dan wakil rakyat yang telah ditempatkan di balai bomba seluruh negeri. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *