WTC2025 teroka tiga dimensi kritikal pelancongan global di Melaka

MELAKA: Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) yang bermula di sini hari ini menjadi platform penting untuk meneroka tiga dimensi kritikal pelancongan global.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tiga dimensi utama itu ialah memperkasakan ekonomi melalui pelancongan inklusif, memperluas pelancongan mampan daripada dasar kepada pelaksanaan, dan pelancongan dalam era kecerdasan buatan dan inovasi.

Beliau menyatakan bahawa perhimpunan itu disatukan dengan visi bersama untuk pertumbuhan mampan, penyertaan inklusif dan transformasi pelancongan yang bermula di Melaka untuk seluruh dunia.

“Ketika kita memulakan perbincangan ini, ingatlah bahawa pelancongan lebih sekadar aktiviti ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama plenari pada persidangan itu.

Ab Rauf menegaskan bahawa pelancongan merupakan kuasa besar yang menghubungkan budaya, menginspirasikan inovasi dan memupuk persefahaman antara negara.

Merujuk pengiktirafan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO, beliau berkata negeri itu teguh sebagai bukti hidup bahawa warisan dan kemodenan boleh wujud bersama secara harmoni.

“Kami memastikan kemampanan bukan sekadar perkara yang difikirkan kemudian, tetapi berada pada teras perancangan dan pembangunan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Melaka dengan bangga meraikan kepelbagaian dan kekal teguh dalam memelihara warisan ketara dan tidak ketara.

Usaha pemeliharaan itu melindungi inti pati identiti negeri dan memberikan inspirasi kepada generasi masa hadapan.

Menerusi persidangan sehari itu dengan tema Tourism and Sustainable Transformation: Inclusive, Resilient, Regenerative, Ab Rauf berkata Melaka bersedia memberikan inspirasi kepada dunia.

Beliau menekankan bahawa Melaka membuktikan dirinya bukan sahaja kaya dengan sejarah tetapi juga sebuah bandar dinamik yang membentuk masa depan kehidupan mampan.

Ab Rauf berkata idea yang dikongsikan pada WTC2025 berpotensi mengubah komuniti, memelihara warisan bersama dan mewujudkan peluang mampan kepada generasi akan datang.

Beliau menggesa semua pihak untuk meninggalkan dewan itu dengan tekad untuk menukar visi kepada tindakan.

“Marilah kita memastikan legasi WTC2025 akan dirasai di seluruh dunia pada tahun-tahun akan datang,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *