MCMC ambil langkah preventif, sekat propaganda Zionis

SEPANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah pencegahan bagi memastikan propaganda Zionis tidak menembusi ruang siber negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC secara aktif meneliti algoritma platform media sosial bagi menyekat sebarang kandungan palsu atau mengelirukan yang mungkin dimainkan rejim berkenaan.

Fahmi berkata kerajaan turut mengadakan sesi libat urus dengan pengendali media sosial bagi menyampaikan pendirian tegas Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam hal itu.

“Hasil daripada libat urusan proaktif yang berterusan dengan platform-platform ini, kami percaya ia memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia akan terus menangkis dan menghalang algoritma yang mengandungi propaganda rejim Zionis daripada menular di negara ini.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak menyatakan pendirian, dan mereka (pengendali platform) akur dengan pandangan yang telah kami sampaikan,” katanya selepas melawat Pusat Gerakan Sumud Nusantara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata ketegasan kerajaan turut dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dengan pihak TikTok berhubung isu pelantikan bekas pelatih Tentera Pertahanan Israel (IDF) sebagai pengurus kandungan di Amerika Syarikat.

“Keberadaan seorang individu yang pernah melatih pasukan IDF bukanlah mesej yang baik untuk ekosistem TikTok, maka kami telah menyatakan penegasan berhubung perkara itu,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terpedaya dengan propaganda Zionis mengenai situasi di Palestin dan inisiatif Global Sumud Flotilla.

“Kita perlu berhati-hati dengan sebarang propaganda rejim Zionis. Sebagai contoh, di beberapa negara telah tular dakwaan kononnya beberapa kapal Global Sumud Flotilla diserang komando Israel, padahal perkara itu tidak berlaku,” katanya – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *