LANGKAWI: Pelumba Itali Matteo Malucelli mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menguasai Peringkat Pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi 2025 sejauh 96.7 kilometer dari Kuah ke sekitar Pulau Langkawi.
Pelumba berusia 30 tahun dari XDS Antana Team muncul lebih awal di garisan penamat dengan catatan masa dua jam 22 minit pada perlumbaan tertua Asia itu.
Pelumba Uno X Mobility Erlend Blikra dan wakil Tudor Pro Cycling Team Arvid de Kleijn muncul di tempat kedua dan ketiga dalam perlumbaan yang tamat dengan penyudah beramai-ramai.
Kejayaan hari ini membolehkan Malucelli menyarung Jersi Hijau selaku Pelumba Terbaik Keseluruhan dan muncul Raja Pecut dengan 15 mata.
“Kami bermula dalam keadaan hujan dan ia bukan cuaca terbaik untuk saya, tetapi tidak menjadi masalah,” katanya selepas perlumbaan.
Beliau menambah keadaan semakin baik kilometer demi kilometer dan cuaca panas ternyata memberi kelebihan kepadanya.
Malucelli turut memuji rakan pasukannya Anton Kuzmin yang melakukan kerja dengan baik dengan mengawal peloton.
Dua pelumba pasukan termasuk Lev Gonov turut membantu beliau sehingga berjaya meraih kemenangan.
Sementara itu, pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team muncul Pelumba Terbaik Asia selepas mengumpul tiga mata di zon pecutan.
Ini merupakan Jersi Putih kedua berturut-turut diraihnya pada peringkat pertama selepas melakukannya pada edisi lepas.
“Memang dalam perbincangan pasukan saya dapat arahan untuk buat pemecahan,” ujar Nur Aiman.
Beliau bersyukur berjaya mendapatkan bonus mata termasuk dua kali tempat pertama zon pecutan dan sekali tempat ketiga.
“Jadi, dapatlah jersi Asia ini dan harap saya boleh terus kekalkan prestasi terbaik untuk peringkat seterusnya,” katanya.
Seorang lagi pelumba TSG Mohamed Harrif Saleh pula muncul Pelumba Asia Tenggara Terbaik Peringkat Satu iaitu kategori baharu diperkenalkan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Mohamed Harrif menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan keseluruhan.
Peringkat Kedua LTdL 2025 esok membabitkan jarak 166.1 kilometer dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang.
Perlumbaan esok akan membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani, Kedah. – Bernama