Lebih 3,000 anggota polis Melaka terima manfaat BUDI95

JASIN: Lebih 3,000 pegawai dan anggota polis di Melaka menerima manfaat inisiatif BUDI95, kata Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata pelaksanaan itu memberi kesan positif kepada anggota keselamatan, yang merupakan antara penerima terawal menikmati subsidi petrol RON95, bermula semalam.

Beliau berkata anggota polis yang menggunakan kenderaan persendirian telah mula menerima manfaat itu bermula semalam, bagi tujuan tugasan harian dan kegunaan keluarga, sekali gus meringankan beban kos sara hidup mereka.

“Proses penebusan subsidi di stesen minyak juga mudah dan pantas, hanya menggunakan MyKad dengan mengambil masa satu minit sahaja untuk pembelian,” katanya kepada pemberita pada Program BUDI95 di Jasin Bestari di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai konvoi jelajah motosikal di daerah Jasin bersama 50 pegawai dan anggota bermula dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin melalui Batang Melaka, Selandar dan Simpang Bekoh, sebelum berakhir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Sementara itu, Inspektor Muhammad Hafiz Othman, 42, berkata subsidi berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan petrol untuk kegunaan keluarganya dan menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan kerajaan.

Bagi Sjn Abdul Jamil Nordin, 54, pula inisiatif itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota keselamatan dan meluahkan rasa syukur apabila subsidi itu dapat dinikmati lebih awal. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *