KPM ambil tanggungjawab penuh siasat insiden murid jatuh saluran kumbahan

NILAI: Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap hasil siasatan itu akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut serta memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau menyatakan KPM kini sedang melaksanakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah.

“KPM merakamkan takziah kepada keluarga mangsa, ini satu tragedi yang amat memberikan kesan kepada kita semua, khususnya menyentuh mengenai keselamatan anak-anak kita di sekolah,“ katanya kepada pemberita di Kampung Masjid, Lenggeng.

Fadhlina bersama Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dan pegawai pendidikan lain telah menziarahi keluarga Allahyarham Abdul Fatah Khairol Rizal di kampung tersebut.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Arsyad Jahaya yang menyelam ke dalam saluran kumbahan bagi mengeluarkan Abdul Fatah.

Media sebelum ini melaporkan mangsa Abdul Fatah Khairol Rizal, murid tahun tiga, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Pendidikan dalam kenyataan semalam mengingatkan semua pentadbir sekolah agar memastikan fasiliti sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata setakat ini lapan saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Ibu kepada Allahyarham Abdul Fatah, Norfazila Md Lajin menghargai keprihatinan warga KPM dan orang ramai yang memberi sokongan moral kepada keluarganya.

“Menteri beritahu saya, pihaknya telah meminta pengarah pendidikan menguruskan aspek insurans dan menyiasat perkara ini secara menyeluruh,“ katanya.

Norfazila yang kelihatan sugul dan amat merindui anak kesayangannya berharap perkara ini diambil tindakan segera oleh semua pihak berwajib. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *