Kalimantan Timur tuan rumah Sukan Borneo 2027 – Abang Johari

KUCHING: Kalimantan Timur, Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah Sukan Borneo 2027 menurut kenyataan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menyatakan kerajaan negeri akan terus memberikan sumbangan dan dana untuk pembangunan sukan di Borneo serta menyokong kerjasama serantau bagi meningkatkan kualiti atlet.

“Kepada atlet yang datang dari jauh, saya doakan saudara selamat pulang bertemu keluarga dan terus berlatih untuk bersaing di Kalimantan Timur pada 2027,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Sukan Borneo Kuching 2025.

Abang Johari turut menyebut Sarawak akan mempunyai syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo menjelang 2027 untuk penerbangan terus ke Kota Samarinda.

Beliau mencadangkan kerjasama antara AirBorneo dengan Royal Brunei Airlines bagi menghubungkan semua wilayah di Borneo.

Penganjuran Sukan Borneo edisi 2025 membuktikan semangat persahabatan dan persefahaman antara wilayah di Borneo terus kukuh.

Temasya ini pertama kali dianjurkan pada tahun 1954 di Brunei Darussalam sebagai pentas penyatuan atlet dari Sarawak, Sabah dan Brunei.

Selepas edisi ke-16 pada tahun 1970, temasya ini terhenti akibat pelbagai kekangan sebelum dihidupkan semula dari 2005 hingga 2013.

Sukan Borneo kembali dianjurkan di Kuching tahun ini setelah bercuti selama 12 tahun.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan memilih Kalimantan Timur dicapai sebulat suara dalam mesyuarat semalam.

“Keunikan Sukan Borneo ini ialah tiada had umur berbanding Sukan Malaysia yang terhad kepada 21 tahun ke bawah,” jelasnya.

Beliau menambah atlet berpeluang terus beraksi di Sukan Borneo sebagai persediaan ke Sukan SEA malah ke peringkat Olimpik. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *