Denda FAM: naturalisasi pemain warisan sah mengikut undang-undang – FahmI

SEPANG: Tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan status tujuh pemain warisan negara adalah tidak wajar, kerana proses naturalisasi mereka dilakukan mengikut undang-undang, kata Penaung KL City FC Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau turut menyuarakan kemusykilan terhadap tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang seolah-olah berubah sikap dalam isu itu, memandangkan badan sukan induk antarabangsa tersebut sebelum ini telah memberi kebenaran kepada tujuh pemain terkait beraksi untuk Malaysia.

“Daripada segi keteraturan, proses naturalisasi berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang sedia ada… as far as the government is concerned, the paperworks are in order dan tidak ada apa-apa isu.

“Mungkin ada beberapa pihak yang cemburu dan risau tentang kebangkitan Harimau Malaya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pengurusan KL City FC akan segera menyelesaikan isu larangan perpindahan pemain baharu oleh FIFA terhadap skuad The City Boys itu yang dikenakan ekoran dakwaan berlaku tunggakan gaji.

“Saya dimaklumkan dalam mesyuarat yang terakhir bahawa pihak pengurusan memberi jaminan mereka akan menyelesaikan isu ini.

“Jendela perpindahan hujung tahun ini, jadi kami ada sedikit masa dan kami percaya isu yang dibangkitkan akan diselesaikan dan sekatan tersebut akan dibatalkan (menjelang tempoh tersebut),” katanya.

Difahamkan, larangan perpindahan terhadap KL City FC berpunca daripada isu tunggakan gaji bekas jurulatih penjaga gol dari Brazil Guilherme Almeida, yang berkhidmat dengan kelab itu pada 2018 hingga 2024 – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *