BUDI95 catat RM3.7 juta pembelian RON95 subsidi untuk ATM dan PDRM

LABUAN: Sejumlah RM3.7 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter telah direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini sejak pelancaran inisiatif BUDI MADANI RON95 semalam.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Amir Hamzah Azizan menyatakan jumlah itu melibatkan lebih 90,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia daripada lebih 300,000 penerima yang layak.

Beliau berkata mereka merupakan kumpulan pertama yang mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

BUDI95 telah diperluaskan mulai hari ini kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah dalam kategori B40.

Pelaksanaan penuh akan bermula pada 30 September dengan merangkumi 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah.

“Berdasarkan pemerhatian kami hari ini di seluruh negara, penerima STR mula menggunakan skim subsidi ini,“ katanya kepada pemberita selepas melawat stesen minyak Petronas di Jalan Pohon Batu.

Amir Hamzah memaklumkan lebih 200,000 penerima STR telah menggunakan kemudahan tersebut setakat jam 12 tengah hari.

Beliau yang memulakan lawatan kerja dua hari ke Labuan hari ini berkata laporan di lapangan menunjukkan operasi BUDI95 berjalan lancar.

Sistem yang digunakan dilaporkan stabil dengan pengesahan MyKad di terminal stesen minyak berfungsi dengan baik.

Beliau mengakui terdapat aduan teknikal kecil yang diterima.

Kebanyakan aduan tersebut berpunca daripada lesen memandu pemohon yang tidak aktif.

Isu lain termasuk cip MyKad yang tidak dapat dibaca atau penggunaan nombor kad pengenalan lama.

“Bagi menyelesaikan isu ini, kami bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara,“ katanya.

Mereka bersedia memberikan sokongan operasi untuk menangani masalah teknikal tersebut.

Amir Hamzah berkata pelaksanaan BUDI95 akan membantu mengurangkan ketirisan subsidi.

Inisiatif ini memastikan pengagihan disasarkan kepada rakyat yang benar-benar layak.

“Apa yang kita mahu ialah bantuan ini benar-benar sampai kepada rakyat,“ tegasnya.

Penggunaan sistem pengesahan kad pengenalan negara juga memberi rasa istimewa sebagai warganegara Malaysia. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *