KUALA LUMPUR: Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly melakar sejarah peribadi apabila berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi, India, hari ini.
Menurut laman sesawang rasmi kejohanan, atlet berusia 28 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.67 meter (m) pada percubaan ketiga untuk meraih pingat emas sekali gus memadam rekod 7.64m yang dicatatkannya pada Kejohanan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.
Di belakang beliau, atlet Arab Saudi Hassan Dawshi melakukan lompatan sejauh 7.36m untuk membawa pulang pingat perak, manakala Matvei Iakushev yang bertanding sebagai atlet paralimpik neutral (NPA) meraih gangsa dengan catatan 7.22m.
“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan hari ini kerana berjaya memecahkan dua rekod iaitu Rekod Kejuaraan (7.61m) dan rekod dunia di New Delhi.
“Saya dedikasikan pingat ini kepada isteri dan anak-anak. Selepas ini, saya akan mengimbangi latihan serta memberi masa kepada isteri dan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan dikongsikan hari ini – Bernama