SANDAKAN: Tiada insiden penculikan untuk wang tebusan atau kidnap-for-ransom (KFR) di Pantai Timur Sabah dilaporkan sejak Januari 2020 hasil kawalan ketat di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil perancangan dan pelaksanaan rapi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah kawalan operasi pusat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkenaan Keselamatan Sempadan berkata laporan berhubung penguatkuasaan, pemeriksaan, tangkapan serta insiden yang berlaku dibentang secara berkala.
“Sebelum ini, jenayah penculikan untuk wang tebusan berleluasa, (namun) sifar kes dilaporkan sejak Januari 2020,” katanya.
Saifuddin Nasution menegaskan bahawa kejayaan itu bukan berlaku secara tiba-tiba tetapi hasil perancangan, penempatan, pemantauan, kesiapsiagaan dan keupayaan aset yang diterajui polis di bawah ESSCom.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) melibatkan anggota polis di stesen minyak Petronas Jalan Bokara. – Bernama