Steven Sim cipta sejarah dengan lawatan pertama ke pejabat Kesatuan TV3

KUALA LUMPUR: Lawatan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ke pejabat Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad mencipta sejarah baharu kesatuan itu sejak penubuhannya 36 tahun lepas.

Presidennya Khairuzzaman Mohammad berkata ini merupakan kali pertama menteri sumber manusia menjejakkan kaki ke pejabat Kesatuan TV3 sekali gus memperlihatkan komitmen kementerian dalam memperkukuh hubungan kerajaan dengan kesatuan sekerja.

Beliau menyatakan bahawa menteri mendengar secara terus pandangan dan permintaan daripada barisan majlis jawatankuasa kesatuan serta wakil kesatuan lain semasa lawatan tersebut.

Pelbagai isu yang berkaitan dengan hal ehwal pekerja, pembangunan sumber manusia serta usaha-usaha untuk meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja dibincangkan secara mendalam.

Khairuzzaman berkata kesatuan menyambut baik inisiatif Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja oleh Kementerian Sumber Manusia yang membantu kesatuan melaksanakan program pendidikan dan teknologi maklumat.

Beliau mengumumkan bahawa Kesatuan TV3 menerima peruntukan PHEKS bagi Program Pendidikan dan ICT berjumlah RM25,000 untuk tahun ini.

Selain itu, beliau memuji usaha gigih Sim dalam memperjuangkan nasib pekerja gig menerusi Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Khairuzzaman turut mengalu-alukan inisiatif menteri untuk memperkasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja di Malaysia.

Katanya usaha Sim itu membuktikan bahawa slogan ‘Berdiri Bersama Pekerja’ bukan hanya retorik tetapi dizahirkan melalui usaha berterusan beliau menyantuni golongan pekerja. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *