KOTA BELUD: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67.62 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Sabah 2025.
Peruntukan ini bakal memberi manfaat kepada 84,534 pekebun kecil dan penoreh getah di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, 3,746 penerima adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Manakala 80,788 penerima lagi akan menerima bantuan melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Beliau berkata setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM800 seorang yang dibayar secara berperingkat bermula November 2025.
Bantuan itu bertujuan meringankan beban kehilangan pendapatan sepanjang musim tengkujuh.
“Sejak diperkenalkan pada 2018, BMT menjadi wadah penting kerajaan mempergiat bantuan kepada masyarakat desa,” katanya ketika berucap merasmikan RISDA MADANI (PRISMA) Sabah 2025 di Padang Pekan Kota Belud.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan turut memperuntukkan RM44.42 juta tahun ini khusus bagi pembangunan lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan tersebut bukan sekadar angka tetapi amanah untuk membina masa depan komuniti pekebun kecil di negeri ini.
“Peruntukan ini bukti nyata keprihatinan kerajaan dalam membangunkan komuniti pekebun kecil getah,” katanya.
Beliau memuji LIGS sebagai rakan strategik RISDA yang membolehkan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil dilaksana dengan lebih strategik, berfokus dan mampan.
Mengulas mengenai PRISMA, beliau berkata ia mencerminkan usaha murni RISDA memastikan setiap inisiatif sistem perkhidmatannya sampai secara langsung dan meluas kepada rakyat.
Ahmad Zahid menekankan bahawa inisiatif seperti peningkatan produktiviti getah dan peluasan penjualan kayu getah terawat mesti dilaksanakan secara sistematik, strategik dan inklusif.
Beliau turut berharap PRISMA tidak dilihat hanya sebagai program tahunan semata-mata.
Sebaliknya, ia diharap menjadi platform pemerkasaan usahawan desa Sabah untuk memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing produk.
Pada majlis itu, RISDA melancarkan logo baharu yang melambangkan aspirasi transformasi agensi tersebut selepas lebih lima dekad beroperasi.
Logo baharu itu menjadi simbol identiti moden yang berdaya saing serta mencerminkan iltizam memacu transformasi sektor komoditi.
Sebagai tanda keprihatinan, RISDA juga menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan RISDA bernilai RM73,000.
Sumbangan itu diberikan kepada 600 penerima yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini. – Bernama