TAWAU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia agar menggantikan MyKad mereka yang rosak di Jabatan Pendaftaran Negara.
Tindakan ini membolehkan mereka menikmati subsidi petrol di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di semua pejabat dan kaunter JPN di seluruh Malaysia sehingga 7 Oktober depan.
Ini bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat subsidi berkenaan.
“Sebelum ini kita nak beli minyak tak payah bawa MyKad, tetapi pada 30 hari bulan nanti, nak isi minyak kena pakai Mykad, ini membezakan seseorang itu rakyat Malaysia atau bukan,” katanya.
Beliau berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 tahun reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelaksanaan sistem minyak bersubsidi bersasar.
Ia membolehkan rakyat menikmati petrol RON95 dengan harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat iaitu pada 27 September untuk anggota tentera dan polis.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tergolong B40 akan mendapat akses pada 28 September.
Rakyat umum pula boleh menikmati subsidi bermula 30 September.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata keselamatan Sabah sentiasa menjadi keutamaan kepada kerajaan dan negara.
Beliau berkata keamanan dan ketenteraman bukan terjadi sendiri atau datang bergolek.
Keadaan itu berlaku kerana kepimpinan negara menjalankan tanggungjawab. – Bernama