TANGKAK: Pesara polis di Johor diseru supaya berdaftar dengan mana-mana persatuan pesara bagi memastikan mereka tidak terlepas atau tercicir daripada menerima bantuan tunai RM200 secara sekali beri daripada kerajaan negeri.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pendaftaran melalui persatuan akan memudahkan proses bantuan disalurkan.
Beliau menyatakan kegusaran bahawa pesara yang tidak berdaftar mungkin tercicir kerana sumbangan ini akan disalurkan melalui persatuan.
“Apa yang jadi kegusaran apabila mereka ini tidak berdaftar, kita takut ada yang tercicir sebab sumbangan ini akan disalurkan melalui persatuan,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Pesara Polis Negeri Johor Cawangan Tangkak.
Ab Rahaman berkata secara keseluruhan terdapat lima persatuan pesara polis di negeri ini dengan anggaran lebih 14,000 keahlian.
Beliau turut menyeru persatuan berkenaan mengesan pesara yang masih belum berdaftar agar segera berbuat demikian.
“Kita minta persatuan untuk menggerakkan ahli mereka untuk cari dan daftarkan mereka dalam persatuan,“ katanya.
Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas inisiatif pemberian bantuan itu yang dijangka akan diberikan tahun ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini mengumumkan 42 inisiatif tambahan untuk manfaat rakyat Johor dengan nilai peruntukan lebih RM209 juta.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 1.9 juta penerima termasuk bantuan tunai RM200 secara sekali beri kepada 24,711 penerima pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia dengan peruntukan RM4.94 juta. – Bernama