KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas pelaksanaan inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON 95 (BUDI95) yang bermula hari ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menyatakan keyakinan PDRM bahawa inisiatif ini akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi keselamatan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Inisiatif ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lepas.
BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok.
Subsidi ini kemudiannya akan diperluas kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.
Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter. – Bernama