KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal pemain gantian Paulo Josue membantu Kuala Lumpur City FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Risto Vidakovic mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga dengan mengumpul 16 mata.
Pasukan itu kini hanya dua mata di belakang pendahulu dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim.
Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat itu, KL City hampir berada di depan menerusi percubaan Nicolao Cardoso pada minit ke-24.
Namun bola hanya menggegar tiang gol selepas percubaan berkenaan.
Perlawanan terpaksa dihentikan selama 41 minit akibat cuaca buruk sebelum Terengganu memperoleh sepakan penalti.
Peluang itu gagal dimanfaatkan apabila rembatan Careca ditepis penjaga gol KL City Quincy Kammeraad.
Bersambung babak kedua, Kammeraad terus mempamer aksi cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-52.
KL City dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78 selepas Josue dijatuhkan dalam kotak penalti.
Pemain tengah itu tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang berkenaan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukannya.
Keputusan itu menyaksikan KL City merekodkan enam perlawanan tanpa kalah dalam kempen Liga Super musim ini. – Bernama