NILAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di sini pada pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira 11 pagi.
Siasatan awal mendapati pada 9.20 pagi mangsa dilihat oleh orang awam telah terjatuh ke dalam saluran kumbahan yang tidak bertutup ketika berlangsungnya program kejohanan sukan olahraga di sekolah itu.
Pasukan bomba tiba di lokasi telah mengeluarkan mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah.
Alzafny turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. – Bernama