Hannah Yeoh tekankan dasar berasaskan data penting untuk pembangunan belia

HONG KONG: Kementerian Belia dan Sukan menekankan kepentingan dasar berasaskan data, keberanian untuk perubahan dan program inklusif dalam membentuk belia yang bersedia menghadapi masa depan.

Menterinya Hannah Yeoh menyatakan belanjawan terhad tidak seharusnya menjadi penghalang tetapi berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi dan keputusan lebih tepat.

“Setiap keputusan mesti bersandarkan data, kerana data adalah kompas kami,” katanya selepas menyampaikan ucaptama kepada lebih 3,000 perwakilan dari lebih 30 negara pada Sidang Kemuncak Pembangunan Belia 2025.

Beliau memberi contoh kes lemas yang mendedahkan lonjakan semasa musim tengkujuh dan di kawasan banjir membawa kepada pengenalan kelas renang percuma untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Hannah berkata inisiatif itu juga berfungsi sebagai platform untuk pencarian bakat renang walaupun Malaysia belum menghasilkan pemenang pingat Olimpik dalam sukan itu.

“Data menunjukkan kebarangkalian mangsa banjir terselamat adalah lebih tinggi sekiranya mereka tahu berenang,” jelasnya mengenai program Kelas Latihan Kemahiran Asas Sukan.

Beliau menekankan data membolehkan kementerian memahami komuniti mana yang paling memerlukan bantuan dengan lebih baik.

Mengenai pemerkasaan belia, Hannah menggariskan keperluan melangkaui program kepimpinan bagi 10 peratus yang berjaya secara akademik.

Beliau menyeru tumpuan diberikan kepada baki 90 peratus yang kekurangan akses kepada peluang pembangunan.

Membuka gimnasium di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik adalah antara usaha Kerajaan MADANI untuk membantu penagih dadah amal tabiat lebih sihat.

“Kami bermula dengan Puspen Dengkil tetapi Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kami untuk mengembangkan inisiatif itu ke semua 28 pusat,” katanya.

Hannah berkata kerjasama dengan pengendali gim untuk membaiki peralatan terpakai dilaksanakan bagi kegunaan pusat-pusat ini.

Beliau berharap perubahan kepada gaya hidup lebih sihat boleh wujudkan warga produktif yang kurangkan beban kewangan kerajaan.

“Adalah penting untuk melibatkan golongan belia dalam penggubalan dasar,” tegas Hannah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *