Hannah Yeoh minta beri ruang FAM lengkapkan rayuan hukuman FIFA

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh – fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa semua pihak supaya memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melengkapkan proses rayuannya terhadap sekatan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Hannah berkata kementerian memandang serius keputusan FIFA sambil menegaskan keutamaan masa ini ialah memastikan semua proses dijalankan dengan penuh integriti demi kepentingan negara.

Beliau menekankan keutamaan sekarang adalah untuk FAM melengkapkan proses rayuan perundangan FIFA dan antarabangsa sehingga selesai sepenuhnya.

“Kesan perkara ini bukan sahaja melibatkan tujuh pemain tetapi seluruh pasukan kebangsaan kita,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram.

Hannah turut mengakui kekecewaan yang dirasai penyokong Harimau Malaya susulan keputusan FIFA itu sambil menambah beliau juga berkongsi perasaan yang sama.

Beliau menyatakan perasaan sedih dan marah apabila membaca mengenai keputusan FIFA.

Hannah juga mengulangi komitmennya untuk melindungi hak dan kebajikan setiap atlet Malaysia tanpa mengmbil kira jenis sukan.

FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan telah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain yang membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland atau kira-kira RM1.8 juta.

Setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland atau kira-kira RM10,560 dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

FAM telah mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *