CUEPACS minta kerajaan kaji had petrol penjawat awam

KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menilai dengan teliti kaedah dan had penggunaan petrol bagi urusan tugas penjawat awam, khususnya yang menggunakan kenderaan sendiri.

Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya menyambut baik dan berterima kasih atas inisiatif kerajaan itu, namun menekankan pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan semasa.

“Kami menghargai langkah ini kerana memberi manfaat kepada seluruh rakyat termasuk penjawat awam.

“Namun, kami bimbang tentang kesan kepada penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tugasan luar kawasan.”

Beliau berkata setakat ini CUEPACS masih menunggu maklumat terperinci mengenai had petrol dan kaedah pelaksanaan inisiatif di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) itu.

Adnan berkata CUEPACS sedang meneliti kaedah terbaik untuk mengurangkan kesan kos penggunaan petrol bagi penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas.

“Antara cadangan ialah menyemak semula kadar elaun perbatuan yang tidak dikaji sejak 2008 supaya disesuaikan dengan keperluan dan kos semasa,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 Sept ini bagi rakyat tempatan, tanpa mengira tahap pendapatan.

Sementara itu, Adnan berkata CUEPACS kesal dengan kejadian lapan individu, termasuk dua penjawat awam yang ditahan dalam operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Khamis kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi.

“Kami amat berdukacita dengan kejadian ini kerana ia menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti penjawat awam.

“Seperti pesanan Perdana Menteri, apabila gaji dinaikkan, penjawat awam harus memberi pulangan setimpal dengan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan dua anggota penguat kuasa antara lapan individu ditahan disyaki bertindak mengatur kaunter atau counter setting dalam sindiket penyelewengan 11,050 kilogram minyak masak bersubsidi dalam operasi KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *