KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan telah mengadakan prapelancaran perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY yang lebih dinamik, cekap dan efisien untuk penduduk di sekitar bandar raya ini menjelang Februari tahun depan.
Menteri Anthony Loke berkata prapelancaran itu membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperkasa perkhidmatan bas berhenti-henti moden yang akan membawa transformasi besar kepada imej Kota Kinabalu.
Beliau menyatakan sebanyak RM17.6 juta setahun atau RM88 juta secara keseluruhan selama lima tahun telah diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Program Transformasi Bas Berhenti-henti di bandar raya itu.
Lapan laluan akan ditawarkan melibatkan 48 bas baharu untuk memastikan perkhidmatan yang lebih komprehensif.
Perkhidmatan ini akan dimulakan secara berperingkat bermula Oktober dengan pengenalan perkhidmatan percubaan percuma sehingga Januari sebelum ketibaan bas baharu dijangka awal tahun depan.
Sebanyak 48 bas akan digunakan dalam operasi penuh perkhidmatan ini dengan tiga bas sudah berada di Kota Kinabalu untuk beroperasi setakat ini.
BAS.MY turut diberi nafas baharu menerusi penjenamaan semula yang lebih segar dan mesra pengguna termasuk pengenalan reka bentuk bas berwarna merah jambu.
Tujuan reka bentuk ini adalah untuk memudahkan orang ramai mengenali perkhidmatan itu dan menarik minat generasi muda menggunakan pengangkutan awam.
Perkhidmatan bas itu juga menampilkan pelbagai ciri moden demi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Kota Kinabalu.
Antara ciri tersebut ialah laluan lebih strategik, sistem pemantauan GPS secara masa nyata, sistem pembayaran tanpa tunai atau e-tiket, kamera litar tertutup, kemudahan mesra orang kurang upaya dan warga emas.
Ini sekali gus akan menggantikan sistem perkhidmatan bas berhenti-henti sedia ada yang masih berasaskan model lama dan konservatif secara berperingkat.
Perkhidmatan bas berhenti-henti di sekitar Kota Kinabalu sebelum ini banyak diusahakan oleh pihak persendirian yang akan terus dibenarkan beroperasi tanpa gangguan.
Pihak pengusaha persendirian sering menghadapi kekangan kerana perlu menunggu penumpang mencukupi sebelum beroperasi bagi mengelak kerugian.
Perkhidmatan BAS.MY diperkenalkan khusus untuk kawasan sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan akan beroperasi secara berjadual tanpa mengira bilangan penumpang.
Konsep ini melindungi pengusaha daripada risiko kerana mereka dibayar mengikut jadual operasi yang ditetapkan.
Inisiatif sama turut dilaksanakan di bandar utama di beberapa negeri seperti Kangar, Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu, Johor Baharu, Kuantan dan Kuching.
BAS.MY akan menawarkan perkhidmatan tambang percuma kepada golongan orang kurang upaya, warga emas, pelajar sekolah dan mahasiswa.
Mereka hanya perlu membayar RM10 sekali untuk mendapatkan kad konsesi bagi menikmati akses pengangkutan awam tersebut.
Bagi pengguna lain, mereka hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua lapan laluan BAS.MY Kota Kinabalu bagi tempoh 30 hari. – Bernama