Anggota keselamatan kongsi pengalaman mudah guna BUDI95

KUALA LUMPUR: Anggota pasukan keselamatan menggambarkan proses mengisi petrol menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebagai mudah dan cepat.

Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Lt Madya Ahmad Azhari Mohd Yazid menyatakan urusan mengisi minyak kenderaan tidak memakan masa yang lama.

“Kita hanya perlu masukkan kad pengenalan pada mesin di pam minyak dan kita dapat harga subsidi,” katanya.

Beliau menganggarkan penjimatan kira-kira RM100 sebulan bagi perbelanjaan petrol yang boleh dialihkan untuk keperluan lain.

Koperal Hilmi Azlan dari Bahagian Perkhidmatan Anggota ATM pula berkata beliau tidak mengambil masa lama untuk mengisi minyak motosikal.

Kuota 300 liter sebulan untuk rakyat Malaysia yang layak disifatkannya amat mencukupi untuk kegunaan peribadi.

“Program ini juga dapat pastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi dan tidak bocor ke rakyat asing,” tambahnya.

Lans Koperal Ahmad Yusri Yusup dari Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berkata inisiatif berkenaan banyak memberikan penjimatan.

Beliau kerap mengisi minyak motosikal bagi perjalanan dari rumah ke tempat kerja.

Inisiatif BUDI95 mula dilaksanakan dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis sebagai kumpulan pertama.

Mereka menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05.

Lans Koperal Mohd Furqhan Mohd Raffiee mengakui proses mendapatkan subsidi petrol amat mudah berbanding jangkaannya.

“Proses BUDI95 ini senang sahaja, bayaran minyak seperti biasa, cuma bezanya kita sahkan kad pengenalan,” jelasnya.

Harga subsidi RM1.99 seliter memberikan penjimatan besar memandangkan beliau membelanjakan RM300 hingga RM400 sebulan untuk petrol.

Perbelanjaan tersebut termasuklah untuk berulang-alik ke tempat kerja dan pulang ke kampung di Kangar, Perlis.

Koperal Muhammad Amirul Hakim Mohd Yusoff pula berkata BUDI95 membantu keluarga yang menggunakan kenderaan setiap hari.

“Kalau dulu belanja minyak agak tinggi boleh cecah RM300, sekarang boleh susun semula bajet bulanan,” ujarnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali menyatakan kira-kira 3,000 anggota ATM di Kem Sungai Besi bakal mendapat manfaat.

Beliau menyifatkan BUDI95 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup rakyat.

Inisiatif ini juga merupakan tanda penghargaan tinggi kepada anggota keselamatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *