LANGKAWI: Pelumba pecut Norway Alexander Kristoff memberikan bayangan bakal bersara selepas membuat penampilan sulung pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Keputusan itu bakal menutup tirai kerjaya gemilangnya sepanjang tiga dekad termasuk melakar kemenangan pada perlumbaan Milan-San Remo, Tour of Flanders, Gent-Wevelgem serta empat peringkat dalam saingan Tour de France.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, pelumba berusia 37 tahun dari pasukan Uno X Mobility itu mengakui Malaysia mungkin menjadi persinggahan terakhir dalam kerjaya cemerlangnya.
Beliau berhasrat mencapai kemenangan ke-100 dalam perlumbaan profesional sebelum mengakhiri kerjayanya.
“Ini kali pertama saya berada di sini dan mungkin juga yang terakhir saya berlumba,” katanya.
Kristoff menyatakan beliau melihat sebelum ini ramai pelumba pecut menang di sini dan masih kekurangan dua kemenangan untuk melengkapkan 100 kemenangan profesional.
“Terdapat peluang yang baik untuk pelumba pecut,” tambahnya.
Beliau berjanji akan cuba merebut setiap peluang yang ada dan mempunyai pasukan yang mantap untuk mencapai sesuatu di sini.
Sementara itu, penyandang Jersi Oren (Raja Pecut) Mateo Malucelli berkata sasaran utama tahun ini bukan untuk mempertahankan gelaran.
Pelumba Itali itu sebaliknya berkata beliau berhasrat untuk memburu lebih banyak kemenangan peringkat berbanding tiga kemenangan pada edisi lepas.
“Matlamat saya adalah memenangi beberapa peringkat dan memperoleh keputusan yang baik,” jelas Malucelli.
Beliau menambah jika berjaya menyarung jersi oren pada akhir perlumbaan, ia sesuatu yang menggembirakan. – Bernama