KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menyeru pelajar kurang berkemampuan yang menerima tawaran pengajian agar tidak menolak peluang itu.
Pihak universiti menyediakan pelbagai bentuk bantuan melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memudahkan mereka.
UM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai satu hantaran media sosial melibatkan seorang calon yang menolak tawaran ke program ijazah dasar universiti itu.
Calon tersebut menolak tawaran kerana tidak mampu menjelaskan yuran kemasukan.
“Universiti Malaya menyampaikan rasa simpati dengan situasi penerima tawaran itu dan akan membantu agar beliau tidak keciciran daripada mengikuti pengajian ke peringkat tinggi.”
Penerima tawaran yang tidak berkemampuan dinasihatkan untuk menghubungi talian 03-7967 7750 atau e-mel srw_hep@um.edu.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
UM turut menegaskan surat tawaran kemasukan boleh dijana sendiri oleh penerima tanpa sebarang bayaran.
Universiti itu menekankan komitmen mereka untuk memastikan akses pendidikan tinggi bertaraf dunia terus terbuka kepada semua pihak.
Ini dilakukan demi kemajuan negara bersama. – Bernama