PUTRAJAYA: Tatakelola kerajaan yang baik dan dasar ekonomi yang berkesan membolehkan Malaysia menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini meringankan beban rakyat berbanding negara lain termasuk negara pengeluar minyak.
Beliau berkata pengumuman penurunan harga itu telah mendapat sambutan positif daripada rakyat walaupun terdapat teguran dan cadangan balas.
“Kita baru mengumumkan mengenai penurunan kadar harga RON95. Alhamdulillah, penerimaan rakyat adalah baik walaupun seperti biasa, ada yang menegur dan memberi cadangan, kita akan meneliti semuanya,” katanya pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar berkata rakyat harus memahami mengapa hanya beberapa negara yang mampu meneruskan program penyasaran subsidi untuk mengurangkan beban rakyat.
Beliau membandingkan situasi di Malaysia dengan Arab Saudi yang sebagai negara pengeluar minyak utama pernah menawarkan harga serendah 50 sen seliter pada 2013.
Harga minyak di Arab Saudi kini dilaporkan melonjak antara RM2.60 dan RM2.90 seliter.
Anwar turut menyebut Qatar sebagai pengeluar minyak dan gas yang menetapkan harga lebih tinggi daripada Malaysia. “Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik.
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan II, timbalan menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan rakan-rakan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata beliau.
Menurut beliau, penurunan harga petrol RON95 hanya dapat dicapai selepas kerajaan melaksanakan perubahan dasar penting.
Perubahan tersebut termasuk tender yang lebih telus, langkah-langkah untuk mengelak ketirisan, membanteras rasuah dan memperkenalkan dasar ekonomi baharu yang memberi keyakinan. – Bernama