SUNGAI PETANI: Syarikat pengangkutan awam dan barangan yang belum memiliki kad fleet subsidi petrol RON95 boleh mengemukakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) mulai 30 September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kemudahan itu membolehkan syarikat terbabit membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter.
Kelayakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai itu tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober 2025.
“Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 September hingga 31 Oktober, atau sehingga tarikh fleet card diterima syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal,” katanya.
Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform sama iaitu SKPS dengan semua tuntutan wajib disertakan bukti resit pembelian petrol RON95 yang dimuat naik ke dalam sistem.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall.
Bayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKPS di KPDN.
Sementara itu, beliau menggesa semua syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak supaya segera membuat pendaftaran SKPS bagi menikmati manfaat subsidi RON95.
Pendaftaran SKPS bagi dua sektor pengangkutan tersebut telah dibuka sejak 15 September lalu dan setakat semalam, sebanyak 5,233 syarikat dengan 12,955 kenderaan telah mendaftar di seluruh negara.
“Kalau ikut rekod awal, kenderaan yang layak dianggarkan sekitar 100,000 buah, jadi jumlah yang telah mendaftar masih jauh daripada anggaran itu,” katanya. – Bernama