Saksi dengar pelajar senior ugut injak kepala Zara Qairina

KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak keempat memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa seorang pelajar senior telah memarahi Allahyarham Zara Qairina Mahathir dengan berkata “aku injak la kepala ko ni Zara”.

Peguam Shahlan Jufri, yang mengetuai pasukan guaman mewakili ibu Zara Qairina, memaklumkan bahawa jeritan pelajar senior itu kuat dan boleh didengari oleh semua penghuni bilik asrama sekitar 10 malam iaitu sehari sebelum pelajar Tingkatan Satu tersebut ditemukan tidak sedarkan diri.

Berkongsi keterangan saksi selepas prosiding inkues, Shahlan berkata ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang baring di atas katil sambil membaca novel sebelum Zara Qairina masuk ke bilik asrama untuk berjumpa dengan ketua bilik.

“Mereka bertanya kepada Zara Qairina tentang kehilangan dompet, tidak lama kemudian, tiga lagi pelajar senior turut masuk ke bilik yang sama untuk berjumpa dengan Zara Qairina,” katanya.

Shahlan menambah bahawa ketika itu, Zara Qairina duduk bersila di atas lantai dan menghadap seorang pelajar yang turut duduk di atas lantai.

“Saksi berkata ketika itu, dia tidak dengar apa yang mereka cakapkan walaupun berdekatan tetapi dia terdengar seorang pelajar senior mengatakan “aku injak la kepala ko ni Zara”,” ujarnya.

Saksi menyatakan selepas kira-kira 20 minit, Zara Qairina kembali ke biliknya dan pelajar-pelajar lain juga beredar ke bilik masing-masing.

“Saksi turut memaklumkan bahawa dia tidak tahu jika Zara Qairina mempunyai sebarang konflik dengan mana-mana pelajar di sekolah itu,” kata Shahlan.

Menurut saksi, cuaca malam itu hujan lebat, angin kuat dan ribut.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin depan.

Semalam, Mahkamah Koroner memutuskan untuk mengekalkan status quo dengan tidak membenarkan pengamal media membuat liputan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang melibatkan saksi kanak-kanak.

Amir Shah membuat keputusan itu selepas Pengarah Pendakwaan Sabah merangkap pengendali inkues Nahra Dollah memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak membenarkan pengamal media berada dalam prosiding berkenaan sehingga semua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan.

Bagaimanapun, Amir Shah berkata pihak media boleh mendapatkan maklumat berhubung prosiding berkenaan melalui peguam yang terlibat selepas kes tamat.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada 4 pagi 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *