KUANTAN: Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi telah menyumbangkan 1,000 kotak makanan MADANI Prihatin kepada polis Pahang untuk disalurkan kepada golongan sasar.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata sumbangan kotak makanan itu disalurkan kepada beberapa kategori penerima antaranya pesara polis, pesakit kronik, ibu atau bapa tunggal, balu, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar dan mualaf serta pekerja pembersihan yang berkhidmat dalam kontinjen Pahang.
Beliau berkata sumbangan ini diharap memberi manfaat besar kepada penerima bukan sekadar dalam bentuk barangan makanan asas tetapi juga sebagai simbol harapan dan tanda bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran hidup.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kotak Makanan MADANI Prihatin di Kompleks Logistik Alor Akar Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.
Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Dr Sim Chon Siang mewakili Ahmad Farhan menyampaikan kotak makanan berkenaan secara simbolik kepada Azry Akmar.
Kotak makanan itu dianggarkan bernilai RM100 dan mengandungi barangan makanan asas, antaranya beras, minyak masak dan gula. – Bernama