Nelayan dan pemilik bot tanpa lesen boleh buat rayuan BUDI95

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan akan meneliti dan mempertimbangkan rayuan golongan nelayan, pekebun, pemilik perahu serta bot yang menggunakan petrol RON95 bagi memastikan mereka turut menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyedari wujud kes tertentu nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan, walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.

Beliau menjelaskan nelayan dan pekebun memang ada elaun khas, selain bantuan diesel, tetapi jika ada yang benar-benar menggunakan RON95 untuk perahu atau bot, mereka boleh kemukakan rayuan.

Anwar memberikan jaminan bahawa kerajaan akan membantu mana-mana pihak yang layak dan menegaskan hal ini tidak membabitkan jumlah yang besar, jadi kerajaan boleh pertimbangkan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *