Najib tandatangan minit mesyuarat hanya kelulusan bukan resolusi mengikat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa minit mesyuarat yang ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kebanyakannya adalah kelulusan semata-mata dan bukan resolusi yang bersifat mengikat.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata bekas Perdana Menteri itu secara konsisten telah menyerahkan kuasa membuat keputusan kepada Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd selaras dengan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Pertubuhan.

“Saya ingin tegaskan semula bahawa hampir semua minit yang ditandatangani Datuk Seri Najib hanyalah berbentuk kelulusan, bukannya resolusi.”

“Dalam beberapa kes apabila perkataan ‘resolved’ digunakan, perenggan terakhir minit itu sentiasa mengandungi syarat bahawa semua keputusan mesti dibuat secara muktamad oleh Lembaga Pengarah selaras dengan Memorandum dan Artikel Pertubuhan SRC, yang sudah tentu termasuk tanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan terbaik syarikat,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam hujah penutup pada perbicaraan kes saman 1.18 bilion dolar AS SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Muhammad Farhan juga berhujah bahawa Najib tidak pernah, pada bila-bila masa, menggunakan kuasa mutlak sama ada melalui Memorandum dan Artikel Pertubuhan atau mana-mana resolusi pemegang saham yang dikatakan telah dikeluarkan oleh beliau.

“Datuk Seri Najib sentiasa menyerahkan perkara itu kepada Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan selayaknya secara bebas,“ katanya.

Selepas semua pihak selesai berhujah, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata beliau akan menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas hujahan yang begitu menyeluruh… saya memerlukan sedikit masa untuk meneliti dan menimbangnya sebelum membuat keputusan,“ katanya.

SRC, di bawah pengurusan baharu, telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa, menyeleweng dana syarikat dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana berkenaan.

SRC menamakan Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Tan Sri Ismee Ismail sebagai defendan.

Keenam-enam individu kemudian digugurkan daripada saman itu.

Bagaimanapun, Najib telah menambah mereka sebagai pihak ketiga dalam saman berkenaan.

Syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami SRC akibat pelanggaran tanggungjawab serta amanah, dan menuntut beliau membayar semula kerugian berjumlah 1.18 bilion dolar AS yang ditanggung oleh syarikat itu.

SRC juga memohon perintah supaya Najib membayar 120 juta dolar AS dan Nik Faisal membayar 2 juta dolar AS kepada syarikat itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *