KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengadakan sesi penerangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bersama kumpulan seni kreatif, khususnya dalam bidang seni suara yang kebanyakannya merupakan pekerja bebas.
Sesi tersebut diadakan selepas beberapa siri libat urus dengan pelbagai sektor lain yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyampaikan taklimat tersebut dalam sesi yang dihadiri hampir 100 penggiat seni termasuk penerbit, pemuzik, penyanyi, penulis lirik, komposer serta pereka animasi dan grafik.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez turut hadir dalam sesi penerangan penting ini.
“Sesi taklimat ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri kreatif,” menurut kenyataan KESUMA.
Pihak kementerian menegaskan bahawa kerjasama ini memastikan pekerja gig di Malaysia menerima hak, perlindungan dan pembelaan yang sewajarnya.
Sim menerangkan kaedah undang-undang baharu itu dapat memberikan kebaikan dan kelebihan yang ketara kepada para penggiat seni.
Antara kelebihan utama ialah kewajipan entiti kontrak membuat pembayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perkhidmatan disempurnakan jika tiada tempoh bayaran dinyatakan dalam perjanjian.
Entiti kontrak atau pemberi kerja juga diwajibkan menyediakan slip bayaran sekiranya diminta oleh pekerja gig.
“Sesi penerangan ini juga memberikan peluang kepada para penggiat seni untuk bertanya secara langsung berkenaan masalah yang sering dihadapi oleh mereka,” tambah kenyataan tersebut.
Sim menegaskan bahawa undang-undang baharu itu akan menoktahkan status pekerja gig yang selama ini dinafikan hak dan keadilan mereka sepanjang 100 tahun kewujudan industri seni di Malaysia.
KESUMA berkomitmen untuk terus membantu penggiat seni dalam mengembangkan kerjaya anak seni menerusi program latihan kemahiran yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah kementerian.
Program latihan kemahiran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan modal insan dalam industri kreatif negara. – Bernama