Kerajaan laksana CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan APMM, lokap AADK

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan langkah ini merupakan usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan tahanan terpelihara.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 yang dipengerusikannya semalam.

“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Anwar menegaskan inisiatif ini bertujuan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan.

Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Beliau berkata pencerobohan tersebut bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara malah menyebabkan ketirisan hasil laut yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.

Atas keprihatinan tersebut, mesyuarat turut bersetuju supaya isu perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara terlibat.

Anwar menekankan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara.

“Reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif,” katanya.

Beliau menambah langkah ini mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *