Jakim sedia bantu keluarga peserta misi kemanusiaan GSF ke Gaza

SEPANG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersedia menyalurkan bantuan kebajikan termasuk kewangan dan sokongan kaunseling kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menekankan langkah itu penting bagi memastikan kebajikan ahli keluarga terbela memandangkan ia melibatkan aspek emosi.

“JAKIM kita memang ada spiritual counsellor, jadi mereka ni boleh turun untuk bantu (ahli keluarga) kalau katakan ada tekanan sebab orang yang tersayang ada di lautan,“ katanya selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Central Warehouse.

Beliau menambah bahawa bantuan kewangan juga akan disalurkan jika diperlukan oleh keluarga terbabit.

Mohd Na’im menyifatkan misi yang disertai 34 rakyat Malaysia itu sebagai satu usaha murni yang tidak semua orang mampu lakukan.

“Misi GSF ini jelas, tujuan dia adalah untuk menghantar bantuan ubatan dan juga makanan kepada rakyat yang berada di Gaza,“ jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang memberikan liputan berterusan dan menyampaikan naratif tepat mengenai misi tersebut.

“Media memainkan peranan penting dalam membina semangat rakyat dan menyampaikan maklumat yang benar,“ katanya.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Mereka dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Peserta misi merupakan sebahagian daripada aktivis daripada 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas enklaf itu.

Mereka cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron sepanjang pelayaran.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan.

Misi itu menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *