Adun Sungai Ramal mohon maaf kepada Syahredzan Johan atas fitnah komunis

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah dari PAS telah memohon maaf kepada Syahredzan Johan berhubung kenyataan berunsur fitnah yang mendakwa Ahli Parlimen Bangi itu menyokong ideologi komunis.

Permohonan maaf itu dimuat naik oleh Mohd Shafie di laman Facebook hari ini selepas beliau mengakui semua dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas.

Beliau menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan yang didakwa dibuat pada 25 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 serta antara 8 hingga 12 Julai 2023 menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor.

“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres, dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada Syahredzan,” katanya.

Mohd Shafie dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat dan berjanji untuk tidak membuat sebarang kenyataan lanjut yang bersifat fitnah.

Beliau turut mengakui Mahkamah Tinggi pada 19 Februari 2024 telah mengeluarkan injunksi interim yang menyekatnya daripada membuat kenyataan serupa terhadap Syahredzan.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakan saya dan komited untuk memastikan bahawa saya akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat serta berintegriti pada masa depan,” tambahnya.

Syahredzan menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata dengan penyelesaian kes saman itu, sewajarnya tidak ada lagi pertikaian peribadi antara beliau dan Mohd Shafie.

Ahli Parlimen Bangi itu mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguamnya iaitu Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap atas khidmat mereka dalam kes ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes membabitkan kedua-dua ahli politik pada 22 September lepas.

Susulan itu, Mohd Shafie sebagai defendan diarah menerbitkan permohonan maaf di dua akhbar nasional serta di semua laman media sosialnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *