Tindakan Itali dan Sepanyol bantu flotila Gaza perlu jadi inspirasi dunia

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi kemanusiaan Flotila Sumud Global ke Gaza wajar menjadi inspirasi bahawa solidariti terhadap Palestin tidak mengenal sempadan.

Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan langkah berani itu membuktikan masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.

Beliau menegaskan Amanah menyokong tindakan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut mengiringi flotila ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.

Mohamad Sabu menambah kedua-dua negara itu membuktikan mereka bukan sekadar beretorik sebaliknya menunjukkan keberanian moral melalui tindakan nyata.

Beliau menegaskan tragedi kemanusiaan di Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia dan sewajarnya negara lain tidak terus bergantung kepada kuasa besar.

Mohamad Sabu berkata negara lain perlu tampil dan bertindak dengan keberanian yang sama seperti Itali dan Sepanyol kerana inilah masa untuk membuktikan dunia benar-benar peduli.

Beliau menyatakan lebih malang dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika Syarikat.

Mohamad Sabu mengibaratkan harapan sebegitu ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli sesuatu yang mustahil.

Beliau menegaskan harapan sebegitu hanya melemahkan diri sendiri sedangkan masa depan Palestin menuntut keberanian dan kesatuan.

Mohamad Sabu menekankan rakyat Palestin berhak hidup aman serta mendapat akses kepada makanan ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim.

Malaysia telah mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru yang mengancam keselamatan Flotila Sumud Global pada Selasa lalu.

Kerajaan Malaysia menggesa laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal misi kemanusiaan tersebut.

Malaysia menegaskan semula bahawa Flotila Sumud Global adalah misi kemanusiaan sah di sisi undang-undang dan amat penting dari segi moral.

Misi kemanusiaan ini dianggap penting berikutan genosid serta kebuluran yang sedang berlaku di Palestin.

Flotila Sumud Global disertai lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia termasuk 34 rakyat Malaysia.

Misi tersebut melibatkan hampir 70 kapal yang membawa bekalan makanan ubat-ubatan dan mesej keamanan untuk rakyat Palestin.

Flotila kemanusiaan ini dijadual tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *