Pengasas restoran Mohd Chan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Jenazah pengasas Restoran Mohd Chan iaitu Datuk Dr Mohd Chan Abdullah, 72, yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 7.09 malam tadi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 2 di sini pada 1.30 tengah hari ini.

Keluarga Allahyarham menerusi hantaran di laman Facebook Mohd Chan Malaysia memaklumkan sebelum itu, jenazah beliau akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini pagi ini bagi tujuan pengurusan.

“Ruang dibuka bagi ziarah terakhir untuk keluarga, sahabat handai dan kenalan pada 10 pagi hingga 12 tengah hari ini sebelum jenazah disolatkan selepas Zohor nanti,” menurut hantaran itu.

Beliau merupakan pengasas rangkaian Restoran Mohd Chan sejak 2007 yang terkenal dengan hidangan masakan Kantonis halal seperti itik panggang, dim sum, mi wantan dan pelbagai lauk pauk ala Cina, menjadikan ia pilihan popular dalam kalangan pelanggan berbilang kaum.

Restoran itu kini mempunyai 18 cawangan yang beroperasi khususnya di Lembah Klang.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed menerusi hantaran di laman Facebook rasmi agensi berkenaan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Chan, yang juga Pegawai Kehormat APM Wilayah Persekutuan.

“Saya dan seluruh warga kerja APM menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Datuk Mohd Chan Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Sept 2025 bersamaan 2 Rabiulakhir 1447 Hijrah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, al-Fatihah,” katanya- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *