KUANTAN: Klinik Kesihatan Kuala Tahan di Jerantut telah memindahkan operasinya secara sementara ke Dewan Penghulu Reja di Kampung Padang, Kuala Tahan.
Pemindahan ini dilakukan berikutan kerosakan struktur utama pada bangunan klinik tersebut yang disebabkan oleh pergerakan tanah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Saiful Azlan Sharif mengesahkan bahawa kesemua 24 orang petugas klinik akan terus berkhidmat di lokasi sementara itu.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat tidak terjejas.
“Hasil pemeriksaan terkini oleh Jabatan Kerja Raya mendapati bangunan Klinik Kesihatan Kuala Tahan yang telah berusia 45 tahun itu tidak stabil dan tidak selamat untuk diduduki,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai perancangan jangka pendek, permohonan untuk melakukan pembaikan struktur sedia ada akan dilaksanakan mengikut kesesuaian.
Pembaikan tersebut hanya akan dilakukan setelah semakan dan penilaian penuh dilaksanakan oleh Bahagian Forensik Struktur Jabatan Kerja Raya.
Untuk jangka panjang, sebuah projek pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tahan Jenis 5 yang dilengkapi kemudahan x-ray di tapak baharu telah pun diluluskan.
Projek tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 bagi tahun 2024.
Kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula pada tahun 2026 di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya.
Dr Saiful Azlan turut menekankan komitmen pihaknya dalam memastikan penduduk terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Beliau juga berhasrat agar petugas dapat bekerja dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat. – Bernama