Inkues Zara Qairina: Dua saksi kanak-kanak akan beri keterangan esok

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini telah selesai mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga pada prosiding inkues berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ke-14 hari ini.

Saksi kanak-kanak itu mula memberikan keterangan secara tertutup pada 2 petang tadi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Pelajar yang ditemani ibunya itu selesai memberi keterangan pada 4.30 petang.

Mahkamah dijadual meneruskan prosiding esok dengan mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak keempat dan kelima bermula pukul 9 pagi.

Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu dimulakan pada 3 Sept lepas.

Sebanyak 25 saksi dewasa dan 32 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *