BUDI95 dijangka tingkat kesedaran keselamatan jalan raya

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka mencetus gelombang kesedaran keselamatan jalan raya terutamanya dalam kalangan pemilik dan pengguna kenderaan persendirian tanpa lesen memandu sah.

Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan Shahrim Tamrin menyatakan inisiatif tersebut akan memberi kesan langsung kepada tiga kategori utama pengguna jalan raya.

Beliau menjelaskan golongan terbabit terdiri daripada pemilik kenderaan tanpa lesen, individu yang gagal memperbaharui lesen memandu tamat tempoh lebih tiga tahun, serta mereka yang tidak pernah memiliki lesen sama sekali.

Shahrim yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata tiga golongan ini sangat banyak terdapat di bandar kecil, desa, kawasan pendalaman dan ladang.

Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada ketiadaan kawalan ketat dalam industri automotif yang membenarkan kenderaan persendirian dibeli tanpa memerlukan pembeli menunjukkan lesen memandu.

“Sudah menjadi amalan sekian lama dalam industri automotif, dengan tiada kawalan oleh kerajaan bahawa tiada larangan dikenakan bagi mana-mana individu tanpa lesen memandu atau menunggang untuk membeli kereta atau motosikal persendirian daripada pengedar kenderaan baharu atau terpakai,” katanya.

Shahrim menambah kelemahan penguatkuasaan terhadap keperluan memperbaharui cukai jalan dan insurans turut memburukkan lagi keadaan semasa.

Beliau memetik data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan perbezaan ketara antara jumlah pembelian kenderaan dan pembaharuan cukai jalan sejak tujuh tahun kebelakangan.

Shahrim berkata kenyataan terbaharu JPJ mengenai kewujudan 2.3 juta lesen memandu tidak aktif turut mendedahkan sikap ambil mudah masyarakat terhadap kepentingan memiliki lesen yang sah.

“Dengan pengenalan BUDI95 ini secara langsung dan tidak langsung bakal memaksa pengguna jalan raya yang degil tanpa lesen yang aktif melebihi tiga tahun, menduduki semula ujian lesen memandu,” katanya.

Beliau menjangkakan mekanisme BUDI95 yang berjalan lancar bersama pengkalan data JPJ yang mantap selama 24 bulan akan datang mampu menghasilkan kesan berangkai terhadap golongan degil termasuk golongan T15.

Shahrim berkata golongan tersebut akhirnya akan terpaksa mengikut arus dengan memastikan lesen memandu dan cukai jalan mereka sentiasa aktif.

Beliau juga melihat BUDI95 sebagai petanda awal bahawa kerajaan mungkin akan merangka undang-undang baharu untuk memastikan sesiapa yang ingin membeli kenderaan mesti mempunyai lesen memandu atau menunggang yang sah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada Isnin lepas harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Kementerian Kewangan memaklumkan sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mendaftar mulai 28 September diikuti 30 September bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *