KLANG: Seramai 662 warga asing yang menghuni premis perumahan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang telah ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor lewat malam tadi.
Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,132 warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula 9.30 malam.
Beliau menyatakan warga Bangladesh paling ramai ditahan iaitu 545 orang diikuti Myanmar (36), Pakistan (35), Nepal (24), India (10) dan Indonesia (sembilan orang).
“Rata-rata yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(C) akta sama kerana tidak memiliki pas atau dokumen sah dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Kesemua tahanan berusia antara 16 hingga 80 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat JIM Selangor untuk semakan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih.
Khairrul Aminus menegaskan operasi sedemikian dilaksana secara berterusan bagi mengesan, menangkap dan mengusir mana-mana warga asing yang melanggar peraturan.
Operasi itu turut menggempur sebuah kediaman di tingkat tiga di kawasan sama yang disyaki dijadikan lokasi menjalankan aktiviti persundalan membabitkan warga asing.
Premis tersebut yang dilengkapi kamera litar tertutup didapati kosong dan dipercayai penghuninya telah menghidu kehadiran pihak penguat kuasa.
Operasi bersepadu itu turut disertai JIM Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan selain Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman dan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am.
Turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang turut memeriksa premis perniagaan dan mengenakan tindakan sitaan terhadap lapan kedai runcit serta restoran.
Sitaan itu melibatkan dua premis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian, empat di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan diikuti dua lagi premis melibatkan Seksyen 46(1)(d) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 kerana menghalang laluan. – Bernama